Monday, April 12, 2010

HUKUMAN BERAT KEPADA PEMBUANG BAYI

Gejala pembuangan bayi di Malaysia menunjukkan peningkatan yang tiada kesudahannya. Tiada petanda aras atau kayu ukur yang menyatakan gejala ini semakin dipandang jijik dan seterusnya berkurangan. Waima, dibunuh atau ditinggalkan hidup, moralnya, kedua-dua perbuatan ini adalah terkutuk di sisi Islam kerana tidak bertanggungjawab ke atas keterlanjuran mereka. Sebenarnya gejala pembuangan bayi adalah mencerminkan gaya hidup tidak sihat yang ditunjukkan oleh kelompok masyarakat kita hari ini. Kita sedang melalui satu fasa yang genting di mana persoalan moral dan akhlak bukan lagi pertimbangan utama dalam setiap keputusan kita. Gaya hidup yang berteraskan liberalisme semakin berakar dalam pelbagai golongan masyarakat. Akar pemikiran liberalisme ini bertunjangkan pandangan alam kebaratan. Pandangan alam Barat ini menyumbang kepada kekeliruan abadi di kalangan masyarakat kita. Persoalan akhlak dan moral ditafsirkan secara relatif, seperti kisah tiga orang buta dengan seekor gajah. Ada yang mentafsirkan gajah seperti pelepah pisang kerana si buta memegang telinga gajah. Ada yang mentafsir gajah seperti tali, kerana si buta memegang ekor gajah. Ada juga yang mentafsir gajah seperti batang kelapa, kerana si buta memegang kaki gajah. Akhirnya, masing-masing mentafsirkan gajah berdasarkan ilmu pancaindera mereka yang terhad itu. Boleh dikatakan, gejala pembuangan bayi merupakan kekeliruan pandangan alam lapisan bawah kerana melibatkan orang awam, terutamanya mungkin golongan remaja. Kekeliruan tidak sahaja kepada orang awam, malah melekat juga kepada golongan ilmuwan dan pendidik yang dikategorikan sebagai lapisan atas atau utama, yang mereka ini menyebarkan faham kebaratan melalui institusi pendidikan kepada umat Islam. Tidak keterlaluan juga, mereka semacam ‘agen’ tidak rasmi pihak Barat.
Punca yang paling jelas berlakunya gejala pembuangan bayi ini adalah kerana berlakunya anak luar nikah. Tatkala ingin menyembunyikan perbuatan dusta itu mereka sanggup membuang bayi dengan harapan diberi peluang menjalani kehidupan baru. Hal ini turut diakibatkan oleh mereka tidak sanggup diejek dan dicaci oleh masyarakat setempat. Di samping itu juga, sikap masyarakat yang tidak prihatin, hanya berpeluk tubuh, dan mengabaikan isu itu turut menjadi punca gejala ini menjadi-jadi. Mereka bersikap demikian kerana menganggap isu ini adalah sesuatu yang memalukan. Terdapat juga, ahli masyarakat yang hanya menuding jari terhadap golongan remaja. Pada pandangan mereka inilah pencetus berlakunya pembuangan bayi kerana pergaulan bebas. Lebih-lebih lagi remaja yang suka melepak dan membuang masa dengan sia-sia dianggap sebagai sampah masyarakat. Sebagai masyarakat, kita sepatutnya memberi teguran membina kepada remaja tersebut. Selain itu kesilapan yang paling nyata ialah sikap wanita dan lelaki yang melakukan perzinaan sesuka hati. Mereka tergolong dalam kalangan yang kurang pendidikan agamanya. Selepas itu, masing-masing hilang rasa tanggungjawab ke atas apa yang mereka lakukan hingga sanggup mengorbankan anak.
Hukuman yang kurang berat juga menggalakkan kes-kes pembuangan bayi ini. Ibu bapa mangsa bayi yang dibuang tidak dikesan bersungguh-sungguh sehingga masalah penjagaan bayi diserapkan bulat-bulat kepada pihak hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Hukuman yang dikenakan hanya penjara dan denda yang mampu dllaksanakan oleh pesalah. Seharusnya mereka ini dikenakan hukuman berat. Hukuman berat yang dilaksanakan dapat membendung gejala ini daripada terus berleluasa. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah merangka Implikasi undang-undang berhubung dengan pembuangan dan pembunuhan bayi. Di bawah Akta Kanak-kanak 2001 - Akta 611, seksyen 17 menyatakan bahawa anak yang dibuang akan dilindungi dan dijaga. Manakala, seksyen 46 pula, Ibu bapa boleh mendapatkan bantuan atau nasihat mengenai anak mereka yang tidak dapat dikawal dengan baik di mana anak ini akan diletakakan di bawah pengawasan yang telah dibenarkan di bawah kuasa mahkamah. Di dalam rang Undang-undang Jenayah Malaysia penal code, turut menyatakan bahawa sesiapa yang membuang bayi akan dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun
Selain daripada hukuman berat, terdapat juga hukuman-hukuman lain yang boleh dijalankan. Sudah pasti, perkara sesukar ini hanya boleh diperhalusi, diputuskan dan dilakukan dengan kerjasama semua pihak. Jika dibina pusat untuk ibu tidak sah taraf ini, bukankah kita hanya menggalakkan maksiat kerana pelaku maksiat sedar mereka akan dibantu dan mereka bebas melakukannya. Jika diwujudkan badan melindungi bayi tidak sah taraf ini sehingga menyerahkan pada keluarga angkat, apakah tercapai matlamat Islam iaitu berkeluarga dan berzuriat? Apakah dengan ini kita dengan rela melepaskan lelaki durjana yang hanya mahu melepaskan nafsu sahaja dan lari dari tanggungjawab terhadap wanita dan bayi tersebut? Bukankah kita mempunyai teknologi seperti DNA untuk mengesan bapa bayi ini, dan bagaimana harus kita bantu mereka supaya mereka insaf dan mendapat keampunan dari Allah SWT. Bukankah itu yang lebih penting.

Golongan agama harus bersatu padu dan tidak seibuk bertelagah. Mereka harus mengetuai usaha ini dengan memperjelaskan hukum membantu pelaku lelaki dan wanita membuang bayi samada harus atau haram!! Mengikut carian internet, ada beberapa pandangan yang dizahirkan golongan agama seluruh dunia, ada yang berpendapat bayi hanya bernyawa selepas 100 hari setelah ditiupkan roh. Itu pandangan mereka, apa yang kita perlukan ialah pandangan golongan agama yang bertanggunjawab di Malaysia kerana ia berkait dengan undang-undang Sivil dan undang-undang Syariah di Malaysia, apatah lagi undang-undang Allah diakhirat. Seterusnya Kerajaan dan NGO boleh menyediakan dana, tempat dan bimbingan untuk mereka.

1 comment:

  1. Harrah's Cherokee Casino & Hotel - Mapyro
    Find Harrah's Cherokee Casino & 경주 출장안마 Hotel 순천 출장샵 in Cherokee, NC and 보령 출장샵 other Murphy, 대전광역 출장샵 North Carolina in real-time and 시흥 출장안마 see activity.

    ReplyDelete